Nov 18, 2009

Persediaan melangkah ke dunia baru – Anda, Pasangan dan Si Kecil.

Menjadi ibu dan ayah merupakan tanggungjawab yang amat besar serta memerlukan persediaan dari segi mental, fizikal, emosi dan kewangan. Sesetengah pasangan memilih untuk merancang terlebih dahulu bagi mengukuhkan kedudukan kewangan keluarga sebelum memiliki cahaya mata. Dan sebaliknya ada pasangan yang ingin terus memiliki cahaya mata setelah berumah tangga.

Kehadiran si kecil di dalam keluarga pastinya membawa perubahan yang sangat besar. Bagi ibu bapa yang baru menimang cahaya mata pertama, anda pasti merasakan tamparan hebat akibat perubahan keseluruhan hidup anda, jadi di sini ada beberapa perkara yang boleh dikongsi bersama sebagai panduan dan persediaan mental, fizikal, emosi serta kewangan pasangan yang baru mendirikan rumahtangga dan ingin memiliki cahaya mata.

1. Masa
Sebahagian besar ibu bapa yang baru menimang cahaya mata pasti merasakan perubahan besar berlaku pada masa anda. Ibu bapa perlu mengambil masa untuk mengatur semula aktiviti yang sebelum ini hanya melibatkan masa anda berdua dengan menyelitkan jadual si kecil. Ya! Jadual si kecil. Kerana setelah si kecil anda lahir, kebanyakan masa anda perlu mengikut jadualnya ; masa menyusu, masa tidur, masa mandi dan bermain. Lazimnya bayi baru lahir tidur 14 hingga 16 jam sehari, dan masa menyusunya adalah setiap dua jam sekali (termasuk waktu malam, si kecil akan mengejut anda setiap dua jam untuk menyusu seperti jam loceng. Percayalah!). Anda akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan jadual si kecil, namun jadual menyusu dan tidur bayi anda akan lebih teratur apabila si manja semakin membesar. Kadangkala bayi anda meragam dan tidak mahu berjauhan dengan anda, maka pastinya anda tidak dapat melakukan sebarang kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh dan sebagainya! Jadi ibu-ibu boleh berbincang dengan pasangan anda, mungkin membuat jadual khas untuk melakukan semua house chores secara ‘curi-curi’ ketika si manja anda sedang nyenyak tidur.

2. Emosi
Bagi ibu-ibu terutamanya yang menyusu badan, pada permulaan (dalam waktu anda berpantang bersalin) anda akan berasa amat tertekan untuk menyesuaikan waktu tidur anda dengan waktu tidur si manja. Jika sebelum ini anda boleh tidur nyenyak di waktu malam tanpa gangguan, setelah menjadi ibu tanggungjawab anda telah menjadi lebih besar (salah satu adalah dengan mengorbankan masa tidur anda). Anda perlu berjaga di waktu malam untuk menyusukan bayi anda dan sudah semestinya anda akan tidur kurang daripada jumlah jam sebelum ini. Berjaga di waktu malam serta mendengar tangisan bayi anda pasti memberi tekanan pada si ibu! Pasangan boleh membantu dengan memberi sokongan kepada isteri ketika beliau sedang cuba mengadaptasi suasana baru menjadi seorang ibu, sebagai contoh, tawarkan diri untuk menyendawakan bayi anda selepas menyusu, atau menukar lampin bayi anda. Janganlah anda sibuk melayan mimpi indah sedangkan isteri anda sedang berjaga menyusukan anak anda di tengah malam hanya kerana anda fikir bayi anda menyusu badan dan anda tidak perlu bangun untuk membancuh susu formula!

3. Kewangan
Selain daripada persediaan mental, fizikal dan emosi, bakal ibubapa juga perlu mengambilkira soal kewangan. Sebagai persediaan, cuba mulakan dengan mengira bajet bagi perbelanjaan bulanan anda sekarang. Berapa baki pendapatan bersih anda dan pasangan setelah ditolak dengan hutang kereta, hutang rumah, hutang kawin (ops!), hutang PTPTN (ops! lagi...), bayaran bil, belanja dapur, dan sebagainya? Adakah mencukupi untuk membeli susu formula, membeli pampers, bayar pengasuh/ taska, belanja perubatan, membeli pakaian dan pelbagai keperluan bayi anda? Mungkin masalah kewangan menyebabkan sesetengah pasangan memilih untuk merancang terlebih dahulu. Bagi yang ingin memiliki cahaya mata tetapi kewangan tidak mengizinkan, anda mungkin mempertimbangkan untuk mencari pendapatan sampingan. Tapi jangan sampai terperangkap dengan skim cepat kaya!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Why Do I Need Supplement?